Wednesday, February 5, 2014

KEJOHANAN CATUR SUKAN IPT 2014: HARI PERTAMA...

Apabila 2 jurulatih bertemu: Ezmi vs Azmi... (Source: Facebook Haslindah Ruslan)

Ini merupakan kali kedua Sukan IPT diadakan semenjak kali pertama diadakan pada tahun 2012. Bagi acara catur, ia masih lagi mengekalkan tempat pertandingan di Dewan Politeknik Shah Alam sama seperti edisi yang lalu. Pada tahun ini, pertandingan catur akan dijalankan sebanyak 11 pusingan, iaitu 3 pusingan pada hari Rabu dan Khamis, 2 pusingan pada hari Jumaat dan Sabtu, serta 1 pusingan terakhir yang akan diadakan pada hari Ahad pagi dan diikuti dengan majlis penyampaian hadiah.

Selepas tamat 3 pusingan pada hari ini, bagi kategori lelaki, hanya 8 pemain masih mengekalkan 3 mata penuh iaitu Ahmad Fadzil Nayan (UIA), Low Jun Jian (Sunway University), Looi Xin Hou (USM), Mohd Nabil Azman Hisham (MMCKL), Muhd Syazwan (UM), Ramone Mikgail Kok (UTP), Suniil Kalivanan (UTP) dan Muhd Khairilhelmi (UTM). Sementara bagi kategori wanita pula, 3 mata penuh menjadi milik 5 pemain iaitu WFM Alia Anin Azwa (UM), Kwan Tszee Yeung (UPSI), Nur Hafizaliyana (UPSI), Siti Noraihan (UIAM) dan Ong Choon Yong (USM). Esok sudah pasti menjanjikan debaran yang lebih kuat apabila kesemua pemain-pemain ini akan bertemu sesama sendiri.


Berikut ialah kedudukan dari satu permainan dari meja pertama. Putih baru sahaja bermain 31.Nc2-b4.

Ahmad Fadzil Nayan (UIA) vs See Kai Loong (UTAR), Pusingan 3, SUKIPT 2014.

Dalam kedudukan di atas, putih berada dalam kedudukan yang kurang selesa. Rook hitam menguasai d file, sementara Queen hitam sedang mengasak King putih yang kelihatan kelemasan tanpa mempunyai banyak ruang untuk melarikan diri. Rook putih kelihatan agak pasif berada di a-file, sementara kedua-dua Knight putih tidak terkoordinasi dengan baik antara satu sama lain. Tambahan pula, hitam memiliki 20 minit masa berbanding putih yang hanya memiliki sekitar 1 minit sahaja. Secara jelas, hitam sedang menguasai permainan dan berpeluang untuk melakukan serangan check mate. Bagaimanakah hitam sepatutnya bermain dalam posisi ini?  


Hitam telah memilih jalan sukar dengan bermain:

31...Qxa2?! Gerakan yang kurang cermat, memandangkan dia memiliki masa yang banyak untuk berfikir gerakan yang lain dan sepatutnya tidak bermain untuk menukar Queen yang sedang menyerang. Mungkin hitam boleh bermain 31...Nxe4 untuk sekurang-kurangnya memiliki kelebihan 1 pawn. Tetapi, terdapat 1 gerakan yang lebih menarik yang dicadangkan oleh Rybka iaitu:

31...Bb2!! Putih hampir tidak mempunyai jawapan yang baik untuk menahan serangan bermula dengan gerakan ini!

Selepas 31...Bg7-b2 (analisis)

Dalam kedudukan di atas, gerakan Bishop ke b2 adalah penting untuk memberikan ruang kepada Queen mengekalkan kedudukannya di baris kedua. Hitam kemudiannya boleh menambah serangan dengan bermain Knight makan pawn e4, diikuti Rook untuk masuk ke petak d1 dan seterusnya putih akan menghadapi masalah untuk menahan serangan checkmate di petak g3 atau g1. Apa yang lebih menarik, gerakan ...Bb2 sebenarnya mematikan terus fungsi Queen untuk melindungi Kingside! 

Tetapi, yang lebih mengejutkan saya ialah Ahmad Fadzil Nayan bukan sekadar terselamat dari serangan maut ini, bahkan beliau pula yang mampu melakukan serangan balas yang akhirnya memberikan beliau kelebihan 1 piece berbanding lawannya dan seterusnya memenangi pertempuran ini. Inilah kelebihan pengalaman. Saya teringat kata-kata GM Magnus Carlsen ketika di ambang kekalahan menentang GM Hikaru Nakamura dalam pertandingan Zurich Chess Challenge 2014 baru-baru ini, namun GM Carlsen masih mampu melepaskan diri dan menang: "Nakamura doesn't usually get these kinds of chances against me...". Peluang yang jarang-jarang diberikan oleh Ahmad Fadzil Nayan kepada lawannya...

No comments:

Post a Comment