Sunday, April 1, 2018

Tie-Break: Perbezaan Buchholz dan Buchholz Cut 1

GM Caruana berjaya memenangi Candidates Tournament 2018 tanpa perlu bergantung kepada tie-break. Source: https://en.chessbase.com/post/candidates-2018-berlin-round-14

Tie-break ialah sistem pemutus seri yang digunakan untuk menentukan pemenang apabila pemain-pemain terikat dengan mata yang sama selepas tamat pertandingan. Terdapat banyak jenis tie-break yang boleh digunakan dalam sesebuah pertandingan. Namun begitu, FIDE telah meletakkan beberapa panduan untuk menggunakan tie-break dalam "FIDE Handbook C. General Rules and Recommendations for Tournaments".

Untuk kejohanan yang melibatkan pemain individu yang menggunakan Sistem Swiss, antara tie-break yang biasa digunakan ialah Buchholz, Buchholz cut 1 dan Sonneborn-Berger. Dalam FIDE Handbook, susunan yang biasa digunakan untuk ketiga-tiga tie-break di atas ialah:
1) Buchholz cut 1
2) Buchholz
3) Sonneborn-Berger

Apakah perbezaan antara 3 tie-break di atas?


Buchholz:
Mata Buchholz ialah jumlah mata yang dimiliki oleh semua pemain yang berlawan dengannya. Contohnya, Pemain A bertemu dengan pemain B, C, D, E, F, G dan H. Maka, mata Buchholz pemain A ialah dengan mencampurkan kesemua mata yang dimiliki oleh B, C, D, E, F, G dan H.

Contoh: B = 3 mata, C = 2.5 mata, D = 4 mata, E = 5 mata, F = 6 mata, G = 5 mata dan H = 4.5 mata.
Jumlah mata Buchholz untuk pemain A selepas 7 pusingan ialah = 30 mata

Tie-break ini digunakan untuk mengukur kekuatan pemain kerana dalam Sistem Swiss, kebiasaannya pemain akan sentiasa mendapat pasangan lawan yang sama mata. Pemain yang kuat biasanya akan berlawan dengan lawan yang kuat.

Buchholz cut 1:
Mata Buchholz cut 1 ialah jumlah mata Buchholz pemain A selepas bertemu 7 pemain, tetapi 1 pemain dengan mata yang paling rendah tidak diambil kira dalam pengiraan ini. Oleh itu, hanya jumlah mata 6 pemain sahaja akan dimasukkan dalam pengiraan mata ini.

Contoh: Pemain A telah bertemu dengan pemain B, C, D, E, F, G dan H. 
B = 3 mata, C = 2.5 mata, D = 4 mata, E = 5 mata, F = 6 mata, G = 5 mata dan H = 4.5 mata.
Oleh itu, antara pemain B, C, D, E, F, G dan H, pemain dengan mata paling rendah ialah pemain C. Jumlah mata Buchholz cut 1 pemain A ialah:
B + D + E + F + G + H iaitu 27.5 mata.

Sistem ini digunakan untuk mengukur kekuatan pemain dengan membuang mata seorang lawan yang paling lemah. Pemain yang kuat akan sentiasa mendapat lawan yang kuat. Ada kemungkinan pemain yang kuat akan berlawan dengan pemain yang lemah, terutamanya pada pusingan pertama Sistem Swiss. Oleh itu, Buchholz cut 1 digunakan untuk membuang mata pemain yang paling lemah supaya ukuran sebenar kekuatan pemain lawan menjadi lebih tepat.

Sonneborn-Berger:
Mata ini dikira dengan cara mencampurkan keseluruhan jumlah mata pemain lawan yang berjaya ditewaskan. Bagi lawan yang seri dengan pemain A, maka pemain A hanya mendapat separuh sahaja daripada mata pemain tersebut. Sekiranya pemain A tewas, pemain A tidak mendapat apa-apa mata daripada pemain yang menang terhadapnya.

Contohnya: A berlawan dengan B, C, D, E, F, G dan H. Pemain A berjaya menang ke atas pemain B, C, D, E dan G, seri dengan pemain F dan tewas kepada pemain H. Oleh itu, pemain H tidak dimasukkan dalam pengiraan.

Jumlah mata pemain adalah seperti berikut: B = 3 mata, C = 2.5 mata, D = 4 mata, E = 5 mata, F = 6 mata, G = 5 mata dan H = 4.5 mata.
Mata Sonneborn-Berger pemain A ialah: 
(B + C + D + E + G) + (0.5 x F) = (3 + 2.5 + 4 + 5 + 5) + (3) = 22.5 mata

Bagaimanakah caranya tie-break ini ditetapkan dalam Swiss Manager?

Setting untuk tie-break Buchholz adalah seperti berikut: 
Best Result dan Worst Result adalah diletakkan kepada "0". Maknanya ialah mata semua pemain lawan akan dimasukkan dalam pengiraan Buchholz.
Setting untuk tie-break Buchholz dalam Swiss Manager


Setting untuk tie-break Buchholz cut 1 pula adalah seperti berikut: 

Best Result diletakkan "0" kerana mata pemain yang tertinggi adalah termasuk dalam pengiraan ini.
Worst Result diletakkan kepada "1" ialah kerana mata seorang pemain dengan keputusan yang paling rendah akan dikeluarkan daripada pengiraan ini. Dengan kata lain, setting ini akan memasukkan kesemua mata pemain lawan kecuali seorang pemain yang mendapat mata paling rendah.

Setting untuk Buchholz Cut 1 dalam Swiss Manager


Setting untuk tie-break Sonneborn-Berger adalah seperti berikut: 
Best Result dan Worst Result adalah diletakkan kepada "0". Maknanya ialah mata semua pemain lawan yang berjaya ditewaskan dan berjaya seri akan dimasukkan dalam pengiraan Sonneborn-Berger. Tetapi, bagi pemain yang seri, hanya separuh sahaja mata pemain itu akan dimasukkan dalam pengiraan.


Setting untuk tie-break Sonneborn-berger dalam Swiss Manager

Selamat mencuba!

Armanov,
Bandar Seri Botani.

2 comments: