Sunday, May 21, 2017

GM Norm: Bagaimana pengiraan Rating Performance dilakukan

IM Yeoh Li Tian (Source: www.chessdom.com)

IM Yeoh Li Tian baru sahaja menamatkan kejohanan Asian Continental Chess Championship 2017 baru-baru ini. Daripada 9 pusingan, beliau berjaya mendapat 4.5 mata. Adakah Li Tian berjaya mendapat GM norm beliau yang kedua?

Menurut FIDE Title Regulations, untuk mendapat GM norm, antara kriteria asas yang perlu dipenuhi ialah:
(FIDE Title Regulations, 1.48) "In order to achieve a GM norm, a player must perform at a level at least 2600 (Rp)".

Adakah Li Tian berjaya memenuhi syarat di atas?

Untuk mengira Rating Prestasi Semasa Kejohanan (Rating Performance= Rp), formula pengiraan adalah seperti berikut:

Rp = Ra + dp

Rp = Rating Performance
Ra = Average rating of opponents
dp = rating difference (semak jadual dp daripada rajah 8.1.a FIDE Rating Regulations B.02 iaitu penukaran daripada peratus skor (p) kepada perbezaan rating (dp).

Untuk menentukan Ra, rating 9 pemain lawan hendaklah dijumlahkan dan dibahagi dengan 9. Rating lawan Li Tian adalah seperti berikut:

Pusingan 1: GM Yu Yangyi (Rating: 2743) (Seri: 0.5)
Pusingan 2: GM Vidit Santosh Gujrathi (Rating: 2687) (Seri: 0.5)
Pusingan 3: Wang Ting-Hao (Rating: 1652) (Menang: 1)
Pusingan 4: GM Jumabayev Rinat (Rating: 2625) (Kalah: 0)
Pusingan 5: FM Andyka Pitra (Rating: 2358) (Menang: 1)
Pusingan 6: GM Sethuraman (Rating: 2633) (Kalah: 0)
Pusingan 7: Zhang Ziji (Rating: 2312) (Seri: 0.5)
Pusingan 8: IM Atabayev Saparmyrat (Rating: 2422) (Kalah: 0)
Pusingan 9: IM Bersamina Paulo (Rating: 2419) (Menang: 1)
Jumlah mata: 4.5


Walau bagaimanapun, rating lawan yang terendah dibenarkan untuk diselaraskan (adjusted rating floor) dan diberikan rating minimum yang lebih tinggi berdasarkan peraturan FIDE Title Regulations 1.46b. Hanya 1 rating terendah sahaja yang dibenarkan untuk diselaraskan.
Dalam senarai rating di atas, lawan Li Tian yang paling rendah ratingnya pada pusingan 3 iaitu Wang Ting-Hao (Rating: 1625) dibenarkan untuk diselaraskan kepada rating minimum untuk GM norm iaitu : Rating = 2200 (Adjusted rating floor).

Justeru, jumlah rating ialah 2743 +2687 + 2200 (adjusted rating floor) + 2625 + 2358 + 2633 + 2312 + 2422 + 2419 = 22399 
Ra = 22399 / 9
Ra = 2488.8 ataupun 2489

Selepas menentukan Ra, proses berikutnya ialah untuk menentukan point daripada perbezaan rating (dp).

dp = 4.5 (mata diperolehi Li Tian) bahagi dengan 9 (jumlah mata keseluruhan) = 0.5
dp = 0.5 ini hendaklah disemak dalam rajah table conversion (FIDE Title Regulations 1.49, table 8.1.a), dan didapati bahawa 0.5 bersamaan dengan nilai 0

Oleh itu, Rating Prestasi Semasa Kejohanan  (rating performance/Rp) adalah:

Rp = Ra + dp
Rp = 2489 + 0
Rp = 2489

Rating Performance 2489 ialah satu nilai yang berada di bawah Rp bagi norm GM iaitu 2600. Berdasarkan peraturan FIDE Title Regulations 1.48, Li Tian tidak memenuhi syarat ini kerana Rp beliau berada di bawah paras 2600.

Situasi 1: Dengan rating purata (Ra) yang sama, bagaimana pula sekiranya Li Tian berjaya mendapat 6 mata daripada 9 perlawanan? Rp Li Tian adalah seperti berikut:

Rp = Ra + dp
Rp = 2489 + (dp = 6 mata bahagi 9 = 0.67 yang bersamaan dengan 125 mata)
Rp = 2489 + 125
Rp = 2614

Ia adalah melebihi rating bagi norm GM iaitu 2600. Dengan kata lain, dengan purata rating seperti di atas, Li Tian memerlukan sekurang-kurangnya 6 mata daripada 9 perlawanan. Tidak mustahil Li Tian boleh melakukannya seperti mana yang beliau tunjukkan ketika mendapat norm GM yang pertama di Filipina.

No comments:

Post a Comment