Tuesday, October 27, 2015

GM Hou Yifan: Pemenang FIDE Women's Grand Prix Siri 1 2015/2016

Pertandingan yang berlangsung di Monaco dari 3-15 Oktober 2015 menggunakan format Round-robin telah berakhir pada minggu lepas. Daripada 12 pemain yang terlibat, GM Hou Yifan dari China telah memenangi pertandingan ini dengan mendapat 9 mata daripada 11 pusingan, dengan kelebihan 2 mata berbanding pencabar terdekatnya di tempat kedua dan ketiga. Beliau hanya tewas kepada GM Koneru Humpy dari India dan seri sebanyak 2 kali iaitu dengan GM Alexandra Kosteniuk dari Rusia dan GM Anna Muzychuk dari Ukraine.

Berikut ialah permainan menarik beliau dalam kejohanan ini apabila berjaya menewaskan pencabar terdekatnya GM Mariya Muzychuk dari Ukraine yang menduduki tempat kedua. 

Permainan ini berkisar tentang bagaimana hitam, dengan menggunakan kedua-dua Knights, berjaya mengawal petak d4 dan seterusnya menjadikan kedudukan pieces putih agak pasif. Hitam seterusnya membuka ruang serangan di Kingside dan putih akhirnya tidak mampu untuk menahan serangan hitam yang datang bertali arus.

GM Mariya Muzychuk (Ukraine) vs GM Hou Yifan (China). Source: Official tournament site
Putih: GM Mariya Muzychuk
Hitam: GM Hou Yifan
Women's Grand Prix 1st Leg 2015/2016, Monaco

1. e4 c5 2. Nf3 d6 3. Bb5+ Nd7 4. O-O a6 5. Bd3 Ngf6 6. c4 g6 7. Nc3 Bg7 8. Re1 Ng4!?



Selepas 8...Nf6-g4

Hou Yifan telah menggunakan strategi yang sangat efektif dalam permainan ini. Dalam struktur pawn di atas, adalah amat penting bagi putih untuk bermain d4 untuk mendapat sedikit kelebihan dari segi ruang dan kawalan petak tengah. Hitam pula akan menggunakan sepenuh kekuatannya untuk menghalang pergerakan d2-d4.

Bagaimanakah gerakan ...Ng4 dapat menghalang d2-d4? Putih akan bermain Bd3-f1 dan diikuti d2-d4, namun hitam masih mempunyai tempo dengan bermain ...Nge5!, sebagaimana yang berlaku dalam permainan sebenar.

Sekiranya hitam memilih gerakan biasa 8...O-O, ia akan memudahkan tugas putih dengan bermain Bd3-f1 diikuti d2-d4.

9. Bf1 Nge5

Selepas 9...Ng4-e5

Inilah strategi putih untuk menghalang d2-d4, iaitu menyerang Nf3 yang melindungi d4. Hitam juga boleh bermain Ne5-c6 untuk menjaga petak d4. Putih akan menghadapi masalah untuk bermain d2-d4. Dalam kedudukan di atas, selagi pawn d2 tidak bergerak, Bishop c1 akan menghadapi masalah dan kedudukan pieces dan pawn c4 & e4 putih amat tidak harmoni.

Sekiranya putih mencuba bermain d2-d4 sekarang: 10.d4 Nxf3+! 11.Qxf3 cxd4 dan hitam sudah berkelebihan 1 pawn.

10.d3 O-O 11.Be3

Selepas 11.Bc1-e3

Putih nampaknya sudah bersedia untuk bermain d3-d4. Bagaimanakah hitam sekali lagi menggagalkan usaha putih untuk bermain d4?

Hitam telah bermain:
11...Nxf3+! (membuang Knight yang melindungi d4, sambil memaksa Queen ke petak f3)
12. Qxf3 Ne5! (Bergerak sambil mengambil tempo menyerang Queen)
13. Qd1 Nc6!


Selepas 13...Ne5-c6
Putih melakukan suatu gerakan "akrobatik" 2 Knight yang cantik untuk memastikan petak d4 masih berada di bawah kawalan hitam. Dalam kedudukan di atas, petak d4 dikawal oleh hitam dengan pawn c5, Knight c6 dan Bg7.

14. Qd2 Rb8 (Bersedia untuk bermain ...b7-b5)
15. Ne2 e5!? (Hitam memberi kawalan tambahan terhadap petak d4 dengan pawn e5)
16. Nc3 Be6
17. Nd5 (Putih menceroboh masuk kawasan hitam, namun tidak mempunyai misi dan sasaran yang jelas)

Apakah yang perlu dilakukan oleh hitam sekarang?

Selepas 17.Nc3-d5
Dalam kedudukan di atas, centre pawn hitam telah dihalang daripada bergerak. Kesemua pieces hitam sudah berada di kedudukan yang strategik. 

Justeru, hitam akan memecahkan kedudukan pawn sama ada dengan bermain b5 ataupun f5. Kedudukan Knight di petak d5 akan menjadi tidak stabil. Apabila pawn centre telah dikunci, maka serangan akan beralih arah melalui sayap kanan atau kiri!

17...b5 18. b3?! (Membuka sasaran Bishop g7 untuk menyerang Rook a1) 
18...f5! (Hitam melakukan pemecahan pawn di kedua-dua belah sayap- kiri & kanan!)
19. g3? (Gerakan yang melemahkan petak f3-h3 dan membuka ruang untuk hitam menyerang!)
19...f4! (Hou Yifan tidak melepaskan peluang ini. Hitam mula memecah masuk kubu putih)

Selepas 19...f5-f4

20.gxf4 exf4
21.Nxf4 Bg4!

Selepas 21...Be6-g4
Perhatikan kedudukan ini. Bishop g7 sedang menyerang Rook a1. Knight c6 akan melompat masuk ke petak e5 untuk menyerang petak f3. Rook f8 juga sudah bersedia menguasai f-file. Putih sedang diserang di Kingside dan juga Queenside. Segalanya-galanya kelihatan sukar untuk putih.

22. Bg2 (Mempertahankan petak f3) 
22...Ne5 (Hitam tidak mengambil Rook a1, tetapi memilih untuk meneruskan serangan Kingside!)
23. h3

Putih mengancam Bishop g4 dan Knight f4 juga sedang bersedia untuk pergi ke petak e6 melakukan fork.

Apakah tindakan hitam dalam situasi di bawah?

Selepas 23.h2-h3

23...Nf3+! (Memaksa putih untuk menukarkan Bishop g2 dengan Knight di f3)
24. Bxf3 Bxf3 (Petak f3-g2 serta pawn h3 menjadi lemah)
25. Ne6 
Putih melakukan fork. 


Selepas 25.Nf4-e6
Hitam telah bermain:

25... Qh4! Mengambil peluang atas kelemahan pertahanan King putih
26. Ng5 h6! 
Hitam membiarkan sahaja Rook putih di petak a1 kerana serangan di kingside adalah lebih penting.

Selepas 26...h7-h6

27.Nxf3 Rxf3 Rook hitam pula masuk membantu Queen.
28.d4 Rxh3 Serangan hitam sudah tidak boleh dipatahkan lagi oleh putih.
29.Kf1 Qg4!
Menutup ruang untuk King lari. Mate in 2...


Permainan yang kemas hasil daripada idea hitam yang tepat untuk mengawal petak d4. Putih seterusnya melakukan kesilapan dengan membuka ruang untuk hitam masuk ke kingside. Hitam kemudiannya tidak memberikan peluang langsung untuk putih bertahan.

0-1


No comments:

Post a Comment