Wednesday, November 26, 2014

Takziah buat keluarga Cikgu Shahrul Nizam Shahruddin...

Selesai sudah penganjuran National Rapid and Blitz Chess Championship di UTP pada hari Ahad yang lepas. Tahniah kepada semua pemenang dan peserta yang menyertai kejohanan ini. Begitu juga kepada para ibu bapa dan guru yang membantu membawa anak-anak ke pertandingan ini.

Malam tadi juga saya menerima perkhabaran yang mendukacitakan. Seorang pemain catur dan juga seorang guru di SMK Sultan Yusuf Batu Gajah yang berdedikasi telah berpindah dari alam dunia yang sementara ke alam yang kekal abadi. Beliau juga telah sempat mendaftar untuk kejohanan National Rapid and Blitz Chess Championship 2014, tetapi pada hari pertandingan iaitu hari Sabtu lepas, saya dimaklumkan bahawa beliau tidak dapat hadir kerana ditahan di wad oleh pihak hospital kerana demam denggi. Tengah malam tadi, maklumat kumpulan whatsapp memaklumkan tentang pemergian beliau. Satu kehilangan yang besar buat ahli keluarga beliau, warga pelajar dan pendidik di SMK Sultan Yusuf, serta warga catur Perak. 

Cikgu Shahrul (Perak Chess Pomelo) vs Shafiq (UTP CJKS), UTP Invitational Chess Team Tournament, 11-12 Oktober 2014

Pertemuan saya yang terakhir dengannya ialah pada malam 6 November yang lalu di pusat catur Limau Bali, Ipoh. Sambil beliau sedang bermain catur dengan rakannya, kami sempat berbincang beberapa perkara berkaitan catur terutamanya tentang projek pembangunan catur sekolah dan analisis permainannya di pertandingan catur berpasukan UTP Invitational Team Chess Tournament tempoh hari. Antara yang disebutnya ialah permainannya ketika bertemu WFM Alia Anin Azwa, bagaimana kesilapannya bermain di Queenside telah membuka ruang untuk kemenangan Alia.

Mudah-mudahan Allah merahmati roh beliau dan mengampunkan segala dosa beliau. Walaupun hanya sempat mengenalinya dalam waktu yang amat pendek, namun terasa seolah-olah sudah lama mengenalinya. Hidup ini hanyalah tempat persinggahan yang sementara, untuk mengutip bekalan menuju ke negeri yang kekal abadi. Moga kita dipertemukan semula di dunia sana dalam keadaan selamat sejahtera...

Allahummaghfirlahu warhamhu wa'afihi wa'fu 'anhu... 

Berikut ialah permainannya ketika bertemu WFM Alia:

WFM Alia vs Shahrul Nizam.
Selepas 11...b5?
12. a4 bxa4
13.Nxa4 Rb8
14.Qa3 Nb6?

Selepas 14...Nb6?
15.Nc5 Nbd7
16.Ba5 Nb6
17.Ne5 Qd6
18.Bb4 Qd8
19.Nc6 Qc7
20.Nxa6

Selepas 20.Nxa6

No comments:

Post a Comment