Thursday, February 6, 2014

SUKIPT HARI KEDUA: LUKA YANG MASIH BERDARAH...

Papan 1 dan 2 pada pusingan keempat.

Banyak pertarungan sengit yang berlaku pada hari kedua pertandingan. Ibarat kata-kata, tiada pahlawan yang tidak terluka, tiada senjata yang tidak terhunus, tiada darah yang tidak menitis. 

Sebanyak 3 pusingan telah berjaya dijalankan iaitu pusingan 4, 5 dan 6. Setelah tamat pusingan keenam, bagi kategori lelaki, seramai 7 orang pemain telah berkongsi mata tertinggi iaitu sebanyak 5 mata. Mereka ialah Muhd Syazwan (UM), Looi Xin Hou (USM), Muhd Nabil (MMC), Chek Kin Keuw (UPM), Mohd Hazzafri (UiTM), Low Jun Keat (Sunway) dan See Kai Long (UTAR). Bagi kategori wanita pula, WFM Alia Anin Azwa (UM) masih unggul dengan 100% kemenangan dengan mengumpul 6 mata. Beliau diekori rapat oleh Kwan Tszee Yeung (UPSI), Goh Xin Yen (Sunway) dan Lee Lee Yin (USM). 

Dalam kategori lelaki, pilihan utama kejohanan dan merupakan juara SUKIPT 2012, Ahmad Fadzil Nayan telah diikat seri sebanyak 2 kali dan kemudiannya tewas kepada Hazzafri (UiTM) pada pusingan keenam. Looi Xin Hou, pilihan kedua kejohanan pula terselamat dari ambang kekalahan pada pusingan keempat dan seterusnya diikat dengan keputusan seri pada pusingan kelima dan keenam. Setakat ini, kategori lelaki masih belum dapat diramalkan dengan jelas bayangan juara kerana bilangan pemain dengan mata tertinggi yang masih ramai. Segalanya mungkin terjadi dalam baki 6 perlawanan seterusnya.

Berbeza bagi kategori wanita, WFM Alia Anin (UM) tidak menghadapi masalah besar untuk menewaskan 3 pencabarnya pada hari ini iaitu Kwan Tszee Yeung (UPSI), Nur Hafizaliyana (UPSI) dan Ong Choon Yong (USM). WFM Alia sudah mendahului dengan 1 jurang mata dengan pencabar terdekatnya. 

Berikut ialah permainan yang telah berlangsung pada hari ini:

Looi Xin How (USM) vs Low Jun Jian (Sunway), SUKIPT 2014 Pusingan 4. Selepas putih bermain 56.Kd1-c1.
Dalam posisi di atas, ternyata hitam sedang menguasai tempo permainan. Dalam keadaan masa yang semakin suntuk, apakah gerakan yang sepatutnya dimainkan oleh pemain hitam?

Wednesday, February 5, 2014

KEJOHANAN CATUR SUKAN IPT 2014: HARI PERTAMA...

Apabila 2 jurulatih bertemu: Ezmi vs Azmi... (Source: Facebook Haslindah Ruslan)

Ini merupakan kali kedua Sukan IPT diadakan semenjak kali pertama diadakan pada tahun 2012. Bagi acara catur, ia masih lagi mengekalkan tempat pertandingan di Dewan Politeknik Shah Alam sama seperti edisi yang lalu. Pada tahun ini, pertandingan catur akan dijalankan sebanyak 11 pusingan, iaitu 3 pusingan pada hari Rabu dan Khamis, 2 pusingan pada hari Jumaat dan Sabtu, serta 1 pusingan terakhir yang akan diadakan pada hari Ahad pagi dan diikuti dengan majlis penyampaian hadiah.

Selepas tamat 3 pusingan pada hari ini, bagi kategori lelaki, hanya 8 pemain masih mengekalkan 3 mata penuh iaitu Ahmad Fadzil Nayan (UIA), Low Jun Jian (Sunway University), Looi Xin Hou (USM), Mohd Nabil Azman Hisham (MMCKL), Muhd Syazwan (UM), Ramone Mikgail Kok (UTP), Suniil Kalivanan (UTP) dan Muhd Khairilhelmi (UTM). Sementara bagi kategori wanita pula, 3 mata penuh menjadi milik 5 pemain iaitu WFM Alia Anin Azwa (UM), Kwan Tszee Yeung (UPSI), Nur Hafizaliyana (UPSI), Siti Noraihan (UIAM) dan Ong Choon Yong (USM). Esok sudah pasti menjanjikan debaran yang lebih kuat apabila kesemua pemain-pemain ini akan bertemu sesama sendiri.


Berikut ialah kedudukan dari satu permainan dari meja pertama. Putih baru sahaja bermain 31.Nc2-b4.

Ahmad Fadzil Nayan (UIA) vs See Kai Loong (UTAR), Pusingan 3, SUKIPT 2014.

Dalam kedudukan di atas, putih berada dalam kedudukan yang kurang selesa. Rook hitam menguasai d file, sementara Queen hitam sedang mengasak King putih yang kelihatan kelemasan tanpa mempunyai banyak ruang untuk melarikan diri. Rook putih kelihatan agak pasif berada di a-file, sementara kedua-dua Knight putih tidak terkoordinasi dengan baik antara satu sama lain. Tambahan pula, hitam memiliki 20 minit masa berbanding putih yang hanya memiliki sekitar 1 minit sahaja. Secara jelas, hitam sedang menguasai permainan dan berpeluang untuk melakukan serangan check mate. Bagaimanakah hitam sepatutnya bermain dalam posisi ini?  

Friday, January 31, 2014

2 Knights vs 2 Bishops...

Selamat Tahun Baru Cina!
Gong Xi Fa Chai! Kenangan di Shanghai 2011, saya dan pekedai Restoran Cina berkomunikasi dalam Bahasa Arab!

Teringat pengalaman kali pertama melawat Shanghai 2011. Saya berada di kota Shanghai kerana membentangkan kertas kerja di seminar ICSSS2011. Perjalanan dari Pudong International Airport ke bandaraya Shanghai hanya mengambil masa lebih kurang 15 minit menggunakan keretapi Maglev yang mencecah kelajuan 400 km sejam dengan bayaran RM25! Terbayang-bayang di kepala, alangkah seronoknya juga kalau keretapi ETS Ipoh-KL juga berkelajuan 400 km sejam... 

Masyarakat di negara China kebanyakannya tidak menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi kedua selepas Mandarin. Jadi, saya menghadapi sedikit masalah untuk mencari kedai makanan halal. Tetapi, terdapat sebuah kedai makanan halal di Shanghai yang sangat unik. Ia menjadi sangat unik kerana cara kami berkomunikasi. Saya yang tidak boleh berbahasa Mandarin menghadapi masalah dengan pekedai restoran yang tidak boleh berbahasa Inggeris. Yang paling mengejutkan saya ialah apabila pekedai itu boleh berbahasa Arab dengan fasih! Justeru, inilah kali pertama dalam hidup saya berkomunikasi dalam Bahasa Arab dengan orang China di negara China! Gong Xi Fa Chai, sanah sa'idah ya sadiqi! 

Sekarang, perhatikan pula diagram di bawah yang diambil dalam pertandingan 76th Tata Steel Challengers 2014 di Wijk aan Zee. Ia menunjukkan bagaimana penguasaan 2 knights berbanding 2 bishops, bersempena dengan tahun Kuda yang dimainkan oleh GM Xue Zhao! Putih mempunyai kelebihan 1 pawn berbanding pawn hitam, namun hitam memiliki sepasang Bishop yang jika diaktifkan dengan baik boleh mengimbangi kelebihan pawn putih. Namun, hitam telah melakukan kesilapan yang telah dimanipulasikan dengan sebaiknya oleh putih. Dalam kedudukan di bawah, hitam telah bermain:

Sunday, January 26, 2014

Warkah Daripada Presiden FIDE...

Surat Sultan Perak kepada Francis Light bertarikh 7 Syawal 1201 Hijrah (23 Julai 1787). Pada surat ini kelihatan cop mohor yang tertulis "Maulana Paduka Seri Sultan Alauddin Mansur Shah Iskandar Muda Khalifah al-Rahim ibn Sultan Muhammad Shah Zillullah fi al-'Alam Sanah 1186"

Warkah ialah satu medium komunikasi yang telah digunakan sejak zaman berzaman. Warkah juga telah membawa saya mengembara ke Kota London pada November yang lepas. Koleksi warkah yang sedang saya kaji ini mengandungi 1214 pucuk surat yang disimpan dalam 11 volume di perpustakaan School of Oriental and African Studies (SOAS) dengan nombor panggilan MS40320. Ia diberi nama "Collection of Light Letters", sempena dengan penerima warkah-warkah ini iaitu Francis Light yang meninggal dunia pada tahun 1794 di Pulau Pinang. 

Surat juga turut memainkan peranan yang penting dalam dunia Moden di samping penggunaan email dan whatsapp. Berikut ialah isu terhangat dan terkini berkaitan dengan surat yang dihantar oleh Presiden FIDE kepada Setiausaha Agung FIDE, iaitu IA Ignatius Leong dari Singapura. 

Friday, January 17, 2014

The Power of 2 Knights



Ketika membuat kajian di London pada bulan November yang lalu, saya berkesempatan berjalan-jalan di Hyde Park, menikmati suasana dan cuaca akhir musim luruh di London. Ketika berjalan-jalan berseorangan, saya amat tertarik dengan ukiran patung seorang lelaki dengan kudanya, yang pasti bukan ukiran klasik ala-ala zaman Rom yang biasa ditemui di kota London. Tekaan saya tepat kerana ukiran tersebut adalah merupakan ukiran moden tentang seorang pahlawan lelaki dari Mongolia yang amat masyhur bernama Genghis Khan. Patung ini terletak berdekatan pintu gerbang berhampiran Marble Arch. Patung tersebut secara keseluruhannya menggambarkan kepahlawanan Genghis Khan yang meninggal dunia pada tahun 1227, dengan pakaian perang serba lengkap tentera Mongolia termasuklah plak emas yang terdapat pada pakaian mereka dan rambut Genghis Khan serta bulu kuda yang didandan, membentuk gambaran tentang kehebatan mereka.

Kali ini, kehebatan kuda perang ini boleh dilihat dalam masalah catur di bawah.


Zarnicki-Dgebuadze, Roque Saenz Pena tt, 1997.



Dalam kedudukan di atas, bilangan pieces adalah sama, namun hitam memiliki passed pawn di d-file. Kedudukan pieces putih juga tidak berada pada kedudukan yang baik apabila kudanya hanya bertahan di baris 1 dan 2, sementara Rook putih amat pasif. Bagaimanakah hitam memanfaatkan kelebihan kedudukan aktif pieces yang dimilikinya?



Sunday, January 12, 2014

Putih Akan Bergerak....

Kasparov-Short, Zurich Rapid 2001

Dalam kedudukan di atas, putih memiliki ruang pergerakan yang lebih baik dari hitam. Hitam mengalami masalah kerana sebahagian besar tenteranya tidak mempunyai ruang untuk bergerak dan menyerang. Putih juga memiliki bala tentera yang sudah bersedia untuk melaksanakan misi serangan di Kingside terutamanya Nh5, Nf3, serta Bc1, Queen dan Re1. Berdasarkan kelebihan yang dimiliki, apakah gerakan yang telah dilakukan oleh Kasparov dalam kedudukan ini?


Sunday, January 5, 2014

SUKIPT 2014

Dalam perjalanan menuju ke Nami Island, tempat pengambaran Winter Sonata, sambil menikmati musim luruh di Korea...
Selamat tinggal 2013, segala kenangan takkan dilupa...

Selamat menyambut tahun baru 2014! Setelah lama tidak berblog, maka seperti biasa, azam baru pada tahun ini ialah untuk sentiasa mengemaskini blog sekurang-kurangnya sebulan sekali. Satu target yang sepatutnya mudah untuk dicapai, tetapi kadang-kadang amat sukar dipenuhi memandangkan jadual kehidupan yang sentiasa penuh dengan pelbagai aktiviti padat.

Seperti yang dijanjikan, Sukan IPT yang akan diadakan pada tahun 2014 masih menyenaraikan catur sebagai salah satu acara daripada 24 acara yang dipertandingkan. Pertandingan catur akan menawarkan 4 pingat emas daripada sejumlah keseluruhan 251 pingat emas. Pertandingan ini dijadualkan berlangsung pada 4 hingga 9 Februari 2014 di Politeknik Shah Alam. Acara-acara lain yang menawarkan pingat emas yang lebih banyak ialah Renang (40), Olahraga (42), Judo (18), Pencak Silat (18), Karatedo (17), Taekwondo (21) dan Lawan Pedang (12).