Saturday, July 29, 2017

DROPPED PIECE(S): ADAKAH SAMA DENGAN ILLEGAL MOVE?


Dalam kedudukan di atas, pemain hitam memiliki kelebihan yang boleh membawa kemenangan. Pemain hitam menggerakkan Rook untuk makan pawn a4. Selepas menekan jamnya, Rook pemain hitam telah terjatuh. Pemain hitam telah diisytiharkan kalah kerana Rook beliau terjatuh selepas beliau menekan jam. Situasi di atas telah berlaku dalam kejohanan catur di negara kita dan telah dimasukkan dalam FIDE Arbiter Magazine No. 3 August 2016.

1) Apakah yang arbiter perlu lakukan? Adakah kes ini termasuk di bawah hukuman "illegal move"?

Berdasarkan FIDE Laws of Chess versi terkini, kes ini telah diletakkan di bawah satu peraturan yang jelas berkaitan "displaces piece(s)", iaitu:



"7.4.1 If a player displaces one or more pieces, he shall re-establish the correct position in his own time."


Pemain yang telah menjatuhkan satu atau lebih buah catur hendaklah membetulkan semula buah catur tersebut pada petak yang betul dengan menggunakan masanya sendiri.


Dengan kata lain, membetulkan semula buah catur yang jatuh ini adalah tanggungjawab pemain yang telah menjatuhkannya. Pemain itu juga hendaklah menggunakan masanya, dan tidak menggunakan masa pemain lawan, semasa membetulkan kedudukan buah catur yang terjatuh itu.

Kes "dropped piece(s)" ini bukanlah termasuk di bawah kategori "illegal move" kerana undang-undang berkaitan "illegal move" diletakkan di bawah artikel 7.5.1, 7.5.2 dan 7.5.3.

2) Bolehkah pemain yang menjatuhkan buah catur itu memberhentikan jamnya untuk membetulkan buah-buah catur yang terjatuh?

Persoalan ini dijawab dalam artikel yang selepasnya, iaitu:

"7.4.2 If necessary, either the player or his opponent shall stop the chessclock and ask for the arbiter’s assistance."

Sekiranya perlu, mana-mana pemain, sama ada pemain yang menjatuhkan buah catur itu ataupun pemain lawannya boleh memberhentikan jam catur itu dan meminta bantuan arbiter untuk membantu membetulkan semula buah catur yang telah jatuh itu.

Artikel ini dengan jelas memberikan kuasa kepada pemain yang menjatuhkan buah catur ataupun pemain lawannya untuk memberhentikan jam untuk memanggil arbiter bagi membetulkan semula buah catur yang telah terjatuh. Apabila jam dihentikan, arbiter hendaklah dipanggil bagi menentukan sama ada alasan pemain memberhentikan jam itu benar-benar relevan mengikut Undang-undang catur ataupun tidak. Dalam kes yang melibatkan "dropped piece", pemain mempunyai alasan yang kuat untuk menghentikan jam bagi memastikan buah catur itu diletakkan semula di petaknya yang betul. Sekiranya pemain, secara sesuka hati menghentikan jamnya tanpa alasan yang munasabah berdasarkan undang-undang catur, maka arbiter berhak untuk mengambil tindakan terhadap pemain tersebut.

3) Adakah tindakan penalti boleh diambil terhadap pemain yang telah menjatuhkan buah catur?

"7.4.3 The arbiter may penalise the player who displaced the pieces."

Artikel ini membenarkan arbiter memberikan penalti terhadap pemain yang menjatuhkan buah catur. Tetapi, tindakan ini tidaklah dinyatakan secara jelas dalam artikel ini kerana terdapat artikel lain yang menyatakan bentuk penalti yang dibenarkan iaitu dalam artikel 12.9. Penalti yang paling ringan ialah amaran, diikuti dengan menambahkan masa pemain lawan, mengurangkan masa pemain dan lain-lain. Bentuk penalti ini tidak dinyatakan secara jelas di bawah artikel 7.4.3 untuk memberikan peluang kepada arbiter menggunakan kebijaksanaannya memberikan penalti berdasarkan situasi. 

Sekiranya pemain sudah menjatuhkan buah catur dan menggunakan masa lawannya untuk membetulkannya semula, maka arbiter berhak untuk mengenakan penalti yang berkaitan dengan masa kerana pemain itu telah menggunakan masa lawannya untuk membetulkan semula buah catur. 

Maka, sekiranya ia pertama kali berlaku dan dilakukan dalam keadaan tidak disengajakan, arbiter tidak seharusnya memberikan kekalahan kepada pemain itu. Terdapat banyak lagi pilihan penalti yang lain seperti memberikan amaran dan menambahkan masa pemain lawan. Namun demikian, sekiranya "displaced piece(s)" telah beberapa kali berlaku, arbiter boleh memberikan kekalahan kepada pemain itu.

Kesimpulannya, pemain yang menjatuhkan buah catur bagi kali pertama tidak sepatutnya dihukum dengan memberikan kekalahan kepadanya. Undang-undang berkaitan "displaced piece(s)" adalah berbeza daripada undang-undang "illegal move". Semoga bermanfaat.

Selamat membaca!

Armanov,
Bandar Seri Botani, Ipoh.

No comments:

Post a Comment