Monday, January 19, 2015

Moga Dirimu Tenang Di Alam Sana...

Al-fatihah buat arwah Ahmad Fadzil Nayan...

18 Januari 2015, pada pagi Ahad di Kuala Lumpur yang tenang, saya menerima perkhabaran yang kurang menyenangkan tentang kesihatan Ahmad Fadzil Nayan, seorang pemain catur kebangsaan yang berasal dari Perak. Beliau yang dilaporkan berada di ICU KPJ Ipoh dalam keadaan yang kritikal, hanya mengharapkan keajaiban untuk pulih. Saya terus berdoa agar kesihatan beliau kembali pulih dan diberi kesempatan untuk saya menziarahinya sebaik sahaja saya tiba di Ipoh malam nanti. Saya cukup yakin bahawa beliau akan kembali pulih memandangkan usianya yang masih lagi muda, 27 tahun. Perak baru sahaja kehilangan Cikgu Shahrul Nizam Shahruddin pada tahun lepas yang meninggal dunia di KPJ Ipoh juga, dan harapan saya ini bukanlah kes yang kedua untuk Perak.

Namun telahan saya kali ini telah tersilap. ICU bukanlah tempat untuk mengharapkan keajaiban berlaku. Saya dimaklumkan oleh Encik Faiz Razali melalui WhatsApp bahawa Ahmad Fadzil Nayan telah meninggal dunia pada jam 9:08 malam. Begitu juga oleh Kak Ju yang telah menelefon saya. Pada ketika itu, saya baru sahaja tiba di Ipoh.